Rasulullah pada suatu waktu pernah menceritakan satu kisah. Pada zaman sebelum anda, pernah ada seorang raja yang amat zalim. Hampir setiap orang pernah merasakan kezalimannya itu. Pada suatu ketika, raja zalim ini ditimpa penyakit yang sangat berat.
Maka seluruh tabib yang ada dalam kerajaan itu dikumpulkan. Dibawah ancaman pedang, mereka disuruh untuk menyembuhkannya. Namun sayangnya tidak ada seorang tabib pun yang mampu menyembuhkannya.
Hingga akhirnya ada seorang Rahib yang mengatakan bahawa penyakit raja itu hanya dapat disembuhkan dengan memakan sejenis ikan tertentu, yang sayangnya semasa ini bukanlah musimnya ikan itu muncul ke permukaan.
Betapa gembiranya raja mendengar khabar ini. Meskipun raja menyedari bahawa pada masa ini bukanlah musim ikan itu muncul kepermukaan namun disuruhnya juga semua orang untuk mencari ikan itu.
Aneh bin ajaib walaupun belum musimnya, ternyata ikan itu sangatlah mudah ditemui. Sehingga akhirnya sembuhlah raja itu dari penyakitnya.
Di lain waktu dan tempat, ada seorang raja yang amat terkenal kebijakannya. Ia sangat dicintai oleh rakyatnya. Pada suatu ketika, raja yang bijaksana itu jatuh sakit.
Ternyata kesimpulan para tabib sama, iaitu ubatnya adalah sejenis ikan tertentu yang pada masa itu sangat banyak terdapat di permukaan laut. Kerana itu mereka sangat optimis rajanya akan segera pulih kembali.
Tapi apa yang terjadi? Ikan yang seharusnya banyak dijumpai di permukaan laut itu, tidak ada seekor pun yang kelihatan..! Walaupun pihak kerajaan telah mengirimkan para ahli selamnya, tetap sahaja ikan itu tidak berjaya ditemui. Sehingga akhirnya raja yang bijaksana itu pun meninggal…
Dikisahkan para malaikat pun kebingungan dengan kejadian itu. Akhirnya mereka menghadap Tuhan dan bertanya, “Ya Tuhan kami, apa sebabnya Engkau menggiring ikan-ikan itu ke permukaan sehingga raja yang zalim itu selamat; sementara pada waktu raja yang bijaksana itu sakit, Engkau menyembunyikan ikan-ikan itu ke dasar laut sehingga akhirnya raja yang baik itu meninggal?”
Tuhan pun berfirman, “Wahai para malaikat-Ku, sesungguhnya raja yang zalim itu pernah berbuat suatu kebaikan. Kerana itu Aku balas kebaikannya itu didunia, sehingga pada waktu dia datang menghadap-Ku, tidak ada lagi kebaikan sedikitpun yang dibawanya. Dan Aku akan tempatkan ia pada neraka yang paling bawah !
Sementara raja yang baik itu pernah berbuat salah kepada-Ku, kerana itu Aku hukum dia didunia dengan menyembunyikan ikan-ikan itu, sehingga nanti dia akan datang menghadap-Ku dengan seluruh kebaikannya tanpa ada sedikit pun dosa padanya, kerana hukuman atas dosanya telah Kutunaikan seluruhnya di dunia!”
Kita dapat mengambil beberapa pengajaran dari kisah ini.
Pengajaran pertama adalah: Ada kesalahan yang hukumannya terus ditunaikan Allah di dunia ini juga; sehingga dengan demikian di akhirat nanti dosa itu tidak diperhitungkan-Nya lagi. Keyakinan perkara ini dapat menguatkan iman kita bila sedang tertimpa musibah.
Pengajaran kedua adalah: Bila kita tidak pernah tertimpa musibah, jangan terlena. Jangan-jangan Allah ‘menghabiskan’ tabungan kebaikan kita. Keyakinan akan perkara ini dapat menjaga kita untuk tidak dibuai dengan lazatnya kenikmatan duniawi sehingga melupakan urusan ukhrowi.
Pengajaran ketiga adalah: Musibah yang menimpa seseorang belum tentu kerana orang itu telah berbuat kesalahan. Keyakinan ini akan dapat mencegah kita untuk tidak berprasangka buruk menyalahkannya, justeru yang timbul adalah keinginan untuk membantu meringankan penderitaannya.
Pengajaran keempat adalah: Siapa yang tahu maksud Allah?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar