KITA rasa bersyukur yang teramat sangat dengan berita kemenangan besar Parti an-Nahdah Tunisia pimpinan Dr Rasyed Ganouchi yang pulang ke tanah air setelah berlaku penggulingan kuasa ke atas pemimpin diktator, Zein al-Abidin ben Ali yang dijatuhi hukuman penjara 35 tahun di negaranya sendiri.
Mungkin itu lebih baik daripada menerima nasib diktator Libya, Kolonel Muammar Gaddafi yang dibunuh oleh rakyatnya sendiri yang sudah lama memendam perasaan marah terhadapnya kerana kelantangannya yang jelas menghina Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan Islam.
Malah kepulangan Dr Rasyed pula tepat pada waktu ketika mana rakyat sudah bosan dengan sistem pemerintahan secara sekular yang berlangsung puluhan tahun di bumi Tunisia.
Kegemilangan Islam Apa yang menarik di Turki pun sudah mula kelihatan ajaran Islam sudah dapat diterima, iaitu negara yang memperkenalkan sistem sekular melalui pengkhianat agama iaitu Mustafa Kamal Attaturk, ini menunjukkan bahawa umat Islam di mana-mana pun sekarang ini sedang meniti jalan untuk mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Mungkin ini satu petanda bahawa Islam akan mula bertapak di negara-negara umat Islam dan akan menerajui kepimpinan dunia ke arah mengimarahkan bumi Allah yang sudah lama menerima akibat negatif daripada pelaksanaan undang-undang yang menyanggah kebesaran Allah SWT.
Ia tidak sekadar bumi, malah akibatnya juga tempias kepada kebanyakan bangsa manusia yang semakin terserlah penentangan mereka terhadap Allah. Bumi ini mengharapkan khalifah yang mengurus tadbirnya dengan Islam seperti yang dihendaki-Nya.
Namun demikian, apakah rahsia kejayaan golongan aktivis Islam menguasai negara dimulai dengan Turki? Insya- Allah selepas ini Tunisia, Mesir dan disusuli pula negaranegara yang berpotensi besar dengan urus tadbir berpaksikan tuntutan ajaran Islam atau Siyasah Syar’iyyah seperti Yaman?
Mungkin antara jawapannya ialah keberkesanan para wartawan gerakan Islam memainkan isu dan peranan hingga jatuhnya kuasa-kuasa besar.
Apakah ciri wartawan gerakan Islam?
Pengalaman bergaul dengan segelintir pimpinan Ikhwan Muslimun Mesir pada era 80-an ketika menjadi pelajar di situ, banyak yang penulis belajar khususnya dari sudut penulisan akhbar dan majalah yang diterbitkan oleh Maktab al-Irsyad (Jabatan Mursyidul Am).
Penulis dapati bahawa kebanyakan wartawan atau penulis yang terlibat mengendalikannya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar komited dengan jemaah.
Dalam erti kata mereka menjaga disiplin bukan sahaja sebagai wartawan Muslim yang komited, malah lebih daripada itu bagaikan para perawi hadis pada zaman silam yang amat memelihara etika periwayatan dengan mengambil kira faktor keberkatan dan keredaan Allah dalam setiap bahan disiarkan.
Faktor keberkatan dan keredaan Allah menurut pandangan mereka ialah dengan menjaga solat fardu pada awal waktu yang dilakukan dalam bentuk jemaaah, mereka merealisasikan amanat Imam Hasan al-Banna yang menekankan 10 perkara bagi menjamin keberkesanan dalam dakwah.
Yang mana menurutnya perkara pertama ialah menunaikan solat pada awal waktu ketika mendengar azan walau dalam apa jua keadaan, kerana tidak ada panggilan yang lebih baik daripada panggilan muazzin menyeru yang lain untuk bersolat jemaah.
Inilah yang menjadi etika utama kerjaya sebagai wartawan ‘gerakan Islam’ yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam penulisan, tetapi pada masa yang sama menyeru manusia sejagat untuk menjadi hamba Allah terbaik dengan melaksanakan segenap titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segenap larangan dan tegahan-Nya.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga dikehendaki menghadiri kuliah atau ceramah yang disampaikan oleh pimpinan atau sesiapa sahaja di kalangan mereka yang komited dengan jemaah atau gerakan yang mereka dukungi.
Mereka menekuni setiap maklumat yang disampaikan bagi mengasah bakat penulisan mereka menepati piawaian dan kehendak pimpinan.
Pimpinan bertanggungjawab memantau cara berfikir yang menjurus kepada ‘Wehdatul Fahmi’ iaitu kesatuan cara berfikir, dalam erti kata bahawa tidak ada seorangpun di kalangan wartawan yang tidak intima’ (komited) dengan pemikiran jemaah, apatah lagi yang cenderung kepada fahaman aliran sosialis, kapitalis atau sekular, ini kerana bagi menjamin kualiti penulisan yang berteraskan roh Islam yang sebenar.
Mungkin ada di kalangan penulis yang hebat menulis, tetapi cara hidup, cara berfikir, penampilan tidak kelihatan sebagai pekerja gerakan Islam yang mempunyai peranan merubah suasana politik negara.
Kemenangan
Inilah juga berlaku dengan rakan-rakan wartawan atau pemberita di Turki, yang bekerja keras pada 2002 memastikan kemenangan Parti Keadilan (AKP) pimpinan Recep Taiyip Erdogan memenangi pilihan raya penting tahun itu.
Tulisan mereka dijelmakan oleh mereka yang benar-benar mempunyai roh Islam. Ia bukan sahaja dalam penulisan, tetapi roh yang terdapat dalam pemikiran, cara hidup dan penampilan yang dibantu dengan kudrat Allah SWT.
Pokoknya, mereka yang bekerja di jabatan penerbitan jemaah adalah mereka yang bertindak sebagai daie (pendakwah) yang berkemampuan menyalurkan maklumat agama dan jemaah kerana mereka adalah individu yang ditarbiyah dengan kefahaman Islam yang betul di samping bahan-bahan bacaan yang berunsur pendidikan yang menjurus kepada pendidikan roh, jiwa dan mental bagi melahirkan cara berfikir yang selaras dan selari dengan tuntutan jemaah.
Mudah-mudahan sekelumit daripada catatan penulis mengenai etika kewartawanan ini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan penulis yang bekerja untuk memenangkan parti yang kita sayang ini, yang menghadapi pelbagai birokrasi dan karenah pihak lawan yang senagaja mencari jalan untuk menyekat kemaraannya, justeru kemenangan kita adalah kemenangan yang bertunjangkan ‘roh Islam’ yang mungkin tidak ada pada mereka.
USTAZ ZAINUDIN HASHIM
Tidak ada komentar:
Posting Komentar